Monday, December 21, 2009

Gear motor dan Aku

Vrroooomm!!

Gear pertamaku pulas usai pulang dari Faruq.

Ligat kepalaku bagaimana hendak menarik manusia kepada jalan al-haq. Teringat akan sekumpulan budak-budak UM yang datang ke bilik, memberi peringatan kepada rakan sebilik. Daripada UM datang ke UIAM semata-mata nak mengajak manusia kepada jalan al-haq...aku kagum....

Vrooooomm!!

Gear keduaku sentak dengan kaki, keluar dari simpang jalan ke kafe Faruq.

Tertanya-tanya apa yang menyebabkan manusia yang merasa stress dan fobia mendengar perkataan Qur'an. Ada yang menjauhkan diri mendengarkan perkataan ini. Ada yang takut bila disuruh membacanya. Ada yang cuak apabila sesebuah persatuan dan program berbaur atau dikaitkan dengan perkataan ini.

Vrrooooomm!!

Gear ketiga pula ku sentak, menaiki bukit melewati mahallah bilal di kiriku dan mahallah siddiq di kananku.

Mungkin untuk menarik mereka ini perlu menggunakan bahasa dan tarikan yang sesuai.

Mungkin tak perlu digunakan kata-kata atau perkataan yang terlalu islami dan perlu lebih funky dan trendy supaya boleh diterima awam. Bercakap dengan manusia mestilah sesuai dengan levelnya. Teringat dengan kata-kata bang Man," dengan budak-budak IRK kita cakapla 'ana anta', tapi dengan budak-budak lain cakapla 'kau aku' ".

Satu konsep yang sebenarnya susah untuk dilaksanakan. Blending in and at the same time preserving your uniqueness...its harder than it looks...

Vrrooooommm!!

Gear aku maintain, melepasi selekoh melepasi mahallah Bilal, menaiki bukit yang lebih cerun.

Sebak terasa...bagaimana pengaruh dan serangan pemikiran barat menular ke dalam kepala kita... Manusia merasa bangga dengan membuat perkara-perkara seperti menonton movie, bermain game, mendengar musik-musik sehingga melalaikan dan keluar membuang masa...

Aku senyum dan cuba menjadi seperti mereka...aku cuba...kadang kala terlebih cuba... Aku tak mahu dilihat terlalu berlainan daripada mereka, langkah aku kena tersusun rapi...

Harapan aku...minat dan idea mereka terhadap barat, bertukar kepada ruh dan semangat yang baru menggerakkan kereta dakwah ini untuk mengajak manusia kepada jalan rabb.

Nggeeeetttt...!!

Brek aku tekan, aku letakkan motor aku betul-betul dibelakang sebuah skuter.

Bergenang air mata...aku tersedar yang aku tak menjaga benchmark sebagai seorang hamba ar-rahman... Inilah implikasinya jika hubungan dengan tuhan tidak terjaga, maka kerja-kerja dakwah kita tidak menjadi... Tertinggal qiamulail untuk beberapa malam merupakan indikasi yang teruk... dengan iman yang teruk, bagaimana boleh memikul amanah sebesar ini?

Aku berhenti menyalahkan barat...aku berhenti menyalahkan Yahudi...aku berhenti menyalahkan golongan sekular dan anti-Islam...aku berhenti menyalahkan golongan Islam liberal...

Sebab salahnya tetap aku... Apa yang aku buat?

Tetapkanlah aku di jalanMu....jauhkanlah kami daripada dimurkai seperti orang Yahudi dan janganlah jadikan kami golongan yang sesat dan menyesatkan orang seperti orang Nasrani...

Thursday, December 3, 2009

Pelukku erat...jangan kau lepas...


Tersorot di dalam folderku yang berhabuk, aku terjumpa sekeping gambar ini...mengenangkannya bergenang air mata mengingatkan janji KITA...



apa khabar kalian di sana?

bagaimana kita sekarang?

masih bersamakah kita?

terus mengembang amanah dakwah kita?

menyampai mesej para nabi?

menegakkan kalimah suci?

ingatkah akan janji kita?


kenapa pula tidak?

beramalkah kita dengan fikrah yang kita punya?

tsabatkah kita atas jalanNya?

istiqomahkah kita untuk terus beriltizam dengan Islam?

atau kita membiarkan orang lain yang beramal?

adakah kita bergoyang kaki mengatakan, "sudah ada orang yang melakukannya..."?

ingatkah akan janji kita?


terlupakah kita akan ummat yang hancur lebur dek jahiliyah?

tidak kasihkan kita kepada ibu, ayah, keluarga dan sahabat tercinta?

terlupakah janji kita di luh mahfuzh?

tidak kisahkah akan jahannam yang membakar?

kebalkah diri daripada amalan dosa yang keji?

ingatkah akan janji kita?


adakah itu semua tinggal kenangan di angin lalu?

adakah kita tergolong daripada mereka yang mengatakan, "ini dongengan orang terdahulu"?

adakah kita yang bising dan tidak beramal, atau terus menyepi seribu bahasa tanpa khabar berita?

atau kita diam tersorok menyorok di sudut dunia tenggelam semula dalam jahiliyah?

ingatkah akan janji kita?

ingatkah akan janji KITA?!

INGATLAH AKAN JANJI KITA!!

Sunday, November 29, 2009

Baytul Ankabut

The most memorable khutbah yang membuatkan hadirin menangis

"Kau tau tak...suami ko tu...nak bunuh anak kau, kau tau tak!" kata si Iblis dengan nada penuh emosi. Pujukan dan sedihnya alunan suaranya membuatkan Siti Hajar hampir tertipu dengan hampir memikirkan yang si Iblis ni punya hati dan perasaan.

"Kau tau ayah ko nak sembelih ko?" tanya Iblis pulak kepada Nabi Ismail a.s.

Kedua anak beranak ini dengan penuh tenang menjawab,
"Kalau perintah Allah, takpelaa..."

Abbi, ummi wa akhi. Doa selamat sebelum jamuan.

Kenapa tidak diberitahu kepada Nabi Ibrahim a.s,

"Err...bang, boleh tak kita tukarkan korban anak kite tu dengan ibadah yang lain? Puasa sepanjang tahun ke...korban haiwan lain yang lagi besar ke..."

"Ayah...kita tangguhkanlah dulu korban ni, buatlah tahun depan...ayah tak sayang ke kat Ismail?"

"Kalau potong bahagian tangan tak boleh ke ayah?"

Feast at our new rented apartment with my cousin.

Umar

Bilamana tiba masanya laungan "labbaikkallahuma labbaik.." dikumandangkan, Umar melangkah gagah perkasa dengan penuh rasa rendah diri, membawa bersama panji kemenenangan membebaskan Baitulmaqdis.

Tahun hadapannya pula Umar kembali lagi dengan laungan "labbaikkallahuma labbaik..". Kali ini dengan kekalahan Rom dan Parsi di tangannya.

Aku bertanya pada diri sendiri...

"Apa pula amal yang aku bawa setiap tahun untuk kembali kepadaMu?"

Puaskah kita dengan amal sebesar zarah kita?

Cukupkah dengan masa yang dibazirkan selain untuk bersamaNya?

Masih ada sesaatkah untuk befikir selain menggapai reda daripadaNya?

Aku cermin diriku sendiri, betapa banyak alasan aku beri untuk tidak menjalankan amanah padaNya. Kenapa aku tidak seperti Nabi Ismail?


Berfikir...

Mungkin Iman itu aku bayangkan dapat terjelma dengan membina masjid. Mungkin ibadahku lebih konsisten dan khusyu' sesudah ini.

Iman itu aku bayangkan dapat dibentuk dengan bi'ah yang solehah, di tempat yang subur dengan dakwah, mungkin di bumi anbia'.

Iman itu aku kira terjamin dengan mempunyai pendidik yang bijak berkata-kata, lemah-lembut dan berhikmah.

Aku kira usaha yang kuat daripada kuat daripada kita, akan natijahkan keuntungan dan kejayaan yang lagi besar untuk kita.

"Adanya upload dalam facebook!" Tapi jangkaan ikhwah yang sedang melihat ke arahku itu meleset!


Namun iman tidak terhasil daripada semua itu, kecuali jika KEMBALI padaNya...

Usaha itu pula harus disadur dengan pengharapan padaNya...

Perumpamaan orang-orang yang mengambil perlindungan selain daripada Allah adalah seperti laba-laba yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah sekiranya mereka mengetahui
al-Ankabut: 41

Seakan tertipu dengan sarang lelabah yang senang rapuh dan musnah. Terlupa akan janjiNya...

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) kami. Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh Allah BESERTA orang-orang beriman
al-Ankabut:69

Allah bersama KITA...

Persoalannya adakah kita bersama ALLAH?

PS: Dialog itu bukanlah terjemahan yang tepat dan asal, tapi lebih kepada terjemahan bahasa pasar yang memberi maksud yang sama.

Thursday, November 12, 2009

Siri cetak rompak: Penjelasan terhadap isu Dr. Asri

Semenjak dua menjak, dalam keadaan para pelajar stress menyediakan diri untuk peperiksaan, kita dikejutkan dengan cerita-cerita angol (bengong) berkenaan dengan Dr. MAZA. Dituduh dengan pelbagai tuduhan yang tak munasabah.

Tidak terlupa mereka yang menjadi mangsa keadaan kepada isu ini, seperti pertubuhan-pertubuhan NGO yang agak famous. Namun mereka telah memberi penjelasan yang aku kira mantop seh...saksikan...

Penjelasan terhadap isu Dr Asri (direct link kepada sumber, kot2 korang rasa blog aku takde tauliah nak post artikel nih or korang tak sudi nak baca kat blog aku...)

Wan Muhammad Wan Ibrahim
PERNYATAAN PENDIRIANPERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
11 November 2009/23 Zulkaedah 1430

Isu yang berkisar tentang Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan PGSM masih belum menemui jalan penyelesaian. Dalam pada itu, pelbagai kekeliruan timbul tentang pendirian NGO Islam terhadap isu berkenaan. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ingin membuat beberapa penjelasan dan mengemukakan cadangan.

1. JIM tetap berpendirian bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan NGO Islam yang lain bersetuju memberikan pandangan kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong supaya Dr Mohd Asri tidak dilantik sebagai YDP YADIM. Berdasarkan pendirian inilah JIM turut disenaraikan sebagai penyokong memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

2. Walau bagaimanapun, JIM tidak selesa dan kesal dengan beberapa pertuduhan terhadap Dr Mohd Asri yang terdapat dalam memorandum tersebut. Ia seharusnya memerlukan kepada proses yang berhemah dan berhati-hati tanpa menzalimi mana-mana pihak. JIM tidak menerima deraf memorandum sebelum dihantar kepada Yang DiPertuan Agong. Pendirian JIM ini telah disampaikan dalam mesyuarat NGO-NGO Islam pada 6 November 2009. Oleh itu JIM mengambil sikap “tawakuf” yakni berkecuali buat masa ini (“suspend judgement”), terhadap segala tuduhan yang ditimbulkan dalam memorandum tersebut.

3. Sehubungan itu, JIM dan semua NGO Islam yang lain telah bersepakat dalam mesyuarat pada 6 November 2009 supaya menumpu kepada jalan penyelesaian dengan diadakan satu majlis permuafakatan atau dailog ilmiah secara bersemuka dan tertutup agar hujah-hujah dapat disampaikan dalam suasana yang baik dan tenang serta dalam semangat mengangkat kekeliruan umat terhadap isu tersebut.

4. Turut dicadangkan ialah majlis tersebut dimudahcara oleh tokoh agama dan cendiakawan Islam yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Malah JIM bersedia mengambil inisiatif mengaturnya. JIM berharap kaedah ini boleh merungkai permasalahan dan inilah tuntutan Allah swt dalam Al-Qur’an, surah An-Nisa’ ayat ke-59.

5. Kehadiran JIM dalam sidang media bersama PGSM pada 6 November 2009 adalah untuk menjelaskan perkara 3 dan 4 di atas. Perlu ditegaskan bahawa JIM tidak terbabit dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh PGSM pada hari tersebut walaupun dilihat bersama semasa sidang media. Pada sidang media tersebut, JIM telah mengeluarkan kenyataannya sendiri yang turut dipersetujui NGO Islam yang lain dengan menyebutkan perkara 3 dan 4 di atas.

HJ ZAID KAMARUDDIN
Presiden JIM

Friday, November 6, 2009

Kena Tipu

1.50PM: Mengantuk selepas solat Zohor, aku mengasah kembali pedang ilmu aku dengan batu asah nota-nota. Dengan tidak semena-mena, mata aku terasa berat bagai tergantung dumbell di alis mataku. Aku merebahkan tubuhku di atas karpet merah Masjid UIA yang empuk. Semuanya gelap...PADAM

2.15PM: Tersedar daripada lena, aku pun mengasah balik pedang aku akan yang masih tumpul dengan batu asah nota-nota yang pernah aku salin ketika aku rajin duduk dalam bilik-bilik kuliah dahulu. Setelah tidak penat mengasah pedang aku dengan usaha yang minima, aku pun bertolak ke medah perang Exhibition Hall KAED dengan kuda Modenas ku yang patah nombor platnya dihadapan.

2.45PM: Tiba di perbatasan medan perang, aku menyambung mengasah kembali pedang aku. Sekalipun dengan usaha yang tidak banyak, aku melangkah gagah ke medan perang...

3.00PM: Aku hunus panah pena aku bermata bola hitam, aku buka perisai jaket putih ku, memandangkan suasana medan perang yang sejuk suam-suam kuku. Di hadapan, di tepi dan belakang terlihat pejuang-pejuang lain, ada yang ku kenal, ada yang tak ku kenal.

"You can start now!!"

Zass!!! Panah pena ku tarik, hinggap satu persatu di dada lawanku.

5.00PM: Aku merasa puas...penat badanku selepas berperang tidak terasa... Aku bersyukur sangat sebab dengan usaha yang minima pun boleh berlawan dengan hebat! Seronoknya aku menenggelamkan aku dalam kehidupan ilusi seperti terkena genjutsu, tenggelam dalam alam yang lebih fana daripada alam ini.

Tertipu dengan kejayaan yang belum pasti...

Tenggelam dalam arus dunia yang punah suatu hari nanti...

Terus terlupa peperangan yang akan mendatang esok dan beberapa hari lagi...

Alpa akan peringatanNya...

"..apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-ayatKu dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini? Mereka berkata: "Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri", kehidupan dunia telah menipu mereka, dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahwa mereka adalah orang-orang yang kafir." 6:130

Monday, November 2, 2009

Berkain Tuala ke Syurga

Shahril keluar daripada bilik, siap berkemban dengan kain tualanya sambil memegang baldi berisi sabun dan berus gigi. Dalam keadaan mamai, dia melagkah ke bilik air untuk mandi.

Tiba-tiba...alarm kecemasan berbunyi... Dalam keadaan berkain tuala, Shahril terus bergegas berlari ke tanah lapang, tempat berkumpulnya kawan-kawannya yang lain. Ramai yang berkain tuala, pelbagai corak, warna dan saiz.

Tak lupa juga yang hitam bertahi lalat.

"Mari kita perang dengan kolej sebelah! Ternyata, mereka telah mengkhianati kita dan telah menahan kawan kita, Zulkifli bin A'to!!" teriak 'Atif yang juga berkain tuala warna coklat, berkartun Garfield.

"Angkatlah sumpah sahabat sekalian! Kita akan berdepan dan berlawan dengan mereka!"

"Tapi...polis kata jangan....." jawab Yusuf, bergetar suaranya ketakutan.

"Pedulikan mereka! Nasib sahabat kita di tangan kita! Kita kena bertindak pantas!" jawab Shahril dengan gagah beraninya, memberi semangat kepada Yusuf.

Mereka semua bersumpah, dengan hanya kain tuala di badan, mereka bersedia bertempur untuk ke kolej sebelah...

Gila apa?

Itulah yang terjadi daripada kalangan sahabat yang berkain ihram ketika hendak menunaikan haji.

Tanpa peralatan perang.

Dengan kain sekeping di badan, tanpa pakaian perlindungan.

Mereka bersumpah untuk menuntut bela atas kematian Uthman bin Affan, yang mereka sangkat mati ketika berbincang dengan musyrikin Mekah.

Mereka bersedia untuk melangkah jauh ke hadapan untuk melawan musyrikin, sekalipun menyedari tiada pedang, tombak dan panah di tangan. Kalau wujud jeneral perang pada masa kini, sudah semestinya mereka akan kata,"Gila apa??"

Tapi itulah kuasa iman dan ukhuwah dalam diri sahabat. Semaian iman yang membuatkan ikatan ukhuwah itu lebih diutamakan daripada nyawa mereka sendiri. Di luar jangkaan akal yang sihat untuk berlawan dengan musuh dengan 'kain tuala' sahaja... Gila apa??

Generasi Qur'an yang unik, itulah mereka, tidak kenal gentar, takut atau mati, sedia berkorban untuk hidup mulia atau mati sebagai shuhada. Namun tujuan mereka yang jelas, melupakan segala perkara di dunia.

Mereka tidak takut meninggalkan anak dan isteri selama-lamanya sebab yakin akan jagaan Allah terhadap mereka.

Mereka tidak takut akan kisah apa yang akan terjadi kepada kebun-kebun mereka, kerana lebih menggemari taman-taman dan sungai syurga yang lagi indah dan permai.

Mereka yakin, sekalipun dalam keadaan ber'kain tuala', mereka akan hidup di alam sana dengan bangga dan gembira, menggapai makna kebahagiaan yang hakiki dan abadi...(background OST Nur Kasih)

Karena itu hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berperang di jalan Allah. Barangsiapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka kelak akan Kami berikan kepadanya pahala yang besar
4:74

Sunday, October 4, 2009

Tak Kenal, Tapi Cinta?

KISAH BENAR YANG BERLAKU DI MAHALLAH ZUBAIR AL-AWWAM. PERISTIWA INI BERLAKU TIDAK LAMA SELEPAS KEJADIAN MENINGGLANYA ARWAH MICHAEL JACKOSN( kalau betul dia dah masuk Islam)

TOKK!! TOKK!!

Kedengaran bunyi ketukan di pintu.

Aku menunggu rakan ku yang lain membuka pintu, semuanya malas, sibuk dengan urusan masing-masing, termasuk aku.

TOKK!! TOKK!! TOKK!! TOKK!!

Bertalu-talu bunyi ketukan pintu. Pada sangkaanku, orang ini mesti orang yang menjaga adab, tidak mahu membuka pintu dan masuk ke bilik orang sembarangan. Aku pun terus bergegas membuka pintu.

Berdiri di hadapan aku, dua kanak-kanak berumur kira-kira 10-11 tahun, berseluar hitam, berbaju putih dan bertopi hitam ala Michael Jackson.

Aku kaget, tergamam seketika.

Tidak lama selepas itu mereka menjauhkan diri dari pintu.

Aku semakin pelik, dah mengetuk pintu, selepas itu tak masuk dan yang lagi pelik mereka diam seribu bahasa.

Tiba-tiba, mereka berjalan ke hadapan dengan gaya yang sungguh aneh sekali, tetapi yang peliknya semakin mereka mengorak langkah ke hadapan, semakin ke belakang mereka. Dilihat rupa paras fizikal mereka, normal, tiada tanda cacat pada anggota fizikal mereka. Aku terus terpinga-pinga dengan kanak-kanak riang ini.

Baru aku teringat, inilah gaya tarian MJ, Moon Walk! Gaya tarian yang menjadi trademark MJ!

Perasaan aku bercampur baur, terkejut pun ada, hendak tergelak pun ada, macam-macam ada!

Tak kenal, tapi cinta?

Seperti yang aku beritahu sebentar tadi, mereka tak pernah berjumpa atau sekurang-kurangnya tahu akan Michael Jackson ketika MJ masih hidup lagi. Bahkan ramai lagi orang yang tidak kisah pun akan MJ ketika hidupnya, yang mereka ingat adalah peristiwa dia mengendong anaknya secara bahaya di koridor dan skandal kanak-kanak yang tidak berkesudahan.

Tapi selepas kematiannya, ramai yang mula kenal dengan MJ. Generasi muda-mudi, budak-budak sekolah rendah pun terpengaruh dengan 'aura' MJ, jatuh cinta dengan tarian dan lagu-lagu nyanyiannya.

"Beeeeat IT!!! Beeeat IITTT!!" nyanyi adikku yang berumur 11 tahun. Antara lagu nyanyian MJ yang famous. Terpangaruh dengan kawan-kawannya yang menjadi Kipas Susah Mati (Die-Hard-Fan) MJ!

(Video lagu "Beat It")

Bersaksi

Manusia cenderung untuk mengikut. Mereka memerhati dan melihat gelagat seseorang, dan jika tertarik, akan mengikutinya. Dalam istilah psikologi, kaedah pembelajaran ini dinamakan Observational Learning.

Cepat terpengaruh dengan figure-figure dan environment sekeliling yang penuh dengan warna-warni, campuran baik dan buruk.

Rasulullah pun dah wafat, tapi tak terjumpa pulak Kipas-Susah-Mati seperti yang MJ ada. Dalam umur yang muda, mereka sanggup datang ke bilik yang mereka tidak kenal, mengetuk pintu tanpa rasa malu, semata-mata untuk menari tarian MJ!

Celupan

Justeru, kalau betul secara naturalnya manusia itu sukakan kebaikan, mengapa banyak adunan warna-warni anasir buruk yang mudah diambil, sehinggakan kanak-kanak semuda mereka itu mudah terpengaruh dengan MJ?

Bukankah celupan (sibgah) Allah itu yang lebih baik?

Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. (Qur'an 2:138)

Tipukah sang penguasa alam sehinggakan makhluknya sendiri tidak tercalit dengan celupanNya?

Tipukah ar-Rahman, bahawa sibghah Dia yang terbaik?

Semuanya salah KITA

Kenapa salah kita?

Sebab kita tidak menjadi terkenal seperti MJ, sehinggakan tidak dapat menarik orang ramai untuk menerima celupan Allah, yang jauh lebih baik daripada tarian dan nyanyian MJ. Alunan merdu surat cinta dari Allah jauh lebih sedap daripada teriakan "BEEeeat ITTT!!!".

Tetapi disebabkan kita tidak menjadi contoh seperti MJ, maka semuanya punah...Tercalit warna-warna suram dan titik kotor pada orang-orang di sekeliling kita, baik adik-beradik, mak ayah, kawan-kawan dan orang-orang Cina dan India yang berdekad lamanya duduk di bersama kita.

Lonjakan bilangan mereka yang kembali kepada celupanNya di Malaysia tidak seperti di UK dan US, padahal lebih ramai dan lebih lama Islam bertapak di bumi Malaysia ini. Sikap jual-ikan (selfish) berakar di hati 'umat Islam', terus sibuk dengan hal masing-masing, terlalu sibuk dengan masalah sendiri.

Masalah mencari duit yang tidak berkesudahan, masalah cinta monyet yang berlarutan.

Tidak lupa yang sibuk dan alpa dengan permainan, komputer dan sukan.

Berjalan-jalan ke sana sini mencari ketenangan, tak lupa juga yang suka bershopping sakan.

SELFISH!

Jual-ikan!

Ketika ditanya kepada pengikut-pengikut yang setia Rasulullah, golongon hawariyun dan para sahabat, dan pejuang Islam dahulu...

"Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong (untuk menegakkan agama) Allah?" (Qur'an 61:14)

Mereka terus berkorban dan bersemangat menggalas amanah ini. Keikhlasan mereka mencari redha Allah mengatasi segalanya dan mereka bersungguh mengejar janji Allah dan terus lupa dengan pelbagai masalah-masalah remeh temeh kehidupan yang tak berkesudahan seraya menjawab:

"Kamilah penolong-penolong agama Allah!!" (Qur'an 61:14)

Maka apa pula jawapan kamu?

Friday, October 2, 2009

Aku Mahu Menjadi Begini!

Seorang da’i Islam agung, yang juga seorang yang dipujai oleh ahli sufi sepanjang zaman pernah mengungkapkan sifat-sifat seorang da’i sepatutnya:

sifat tajarrud kamil dan tenggelam sepenuh dirinya ke dalam dakwah. Da’i itu lupa dirinya. Dia tidak nampak kecuali mad’unya. Perkataannya hanya yang memberi kebaikan kepada mad’unya. Dunia da’i adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada keinginan sendiri dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia da’i itu hanyalah para mad’u yang didakwahinya. Itulah perniagaannya, keseronokkannya dan pangkatnya.

“Dia seolah-olah manusia tanpa nafsu, tanpa keinginan dan tanpa keseronokan dunia. Dia lupa makan minum dan pakaiannya. Bahkan lupa dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah S.W.T. Di dalam hatinya tidak ada dirinya. Yang ada hanyalah makhluk Allah S.W.T (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada qada’ Allah S.W.T.”

(rujukan: buku oleh Syeikh Abdul Kadir al-Kailani (Al-Jailani), al-Fathu al-Rabbani, m.s. 7)

Dipetik daripada posting blog UKS.

Friday, September 4, 2009

Selamat Tinggal si Putih Comel

"Adoi mak nimang terjatuh terhantuk kepala..." ujar Mak Teh (bukan nama sebenar) selepas kepalanya terhantuk almari.

"...eh kepala terhantuk kat tiang gol...eh tiang gol masok gok kalah satu kosong...&%$##..." sambungnya lagi, dihiasi lagi dengan carut-marut, tidak berkesudahan. Begitulah melatahnya seorang wanita Melayu. Satu sindrom yang hanya wujud di Malaysia.

Namun sindrom ini tidak hanya dihidapi oleh wanita Melayu, bahkan lelaki Melayu juga. Kalau lelaki yang melatah, keadaannya akan menjadi lebih teruk, rasional dan pertimbangan akal hilang.

Maka akan berlakulah kejadian sebegini.


(source)

Peristiwa yang panas ini menjadi bualan setiap rakyat Malaysia yang peka dengan isu semasa. Banyak persepsi dan reaksi terhadap berlakunya kejadian sebegini.

Sebagai seorang Melayu, mereka akan melawan dan membantah pembinaan kuil hindu di kawasan Melayu.

Tidak untuk si Muslim. Muslim yang Islam akan menyokong dan tidak sekali-kali akan membantah pembinaan kuil itu. Demonstrasi sebegitu tidak akan dilakukan oleh muslim sejati.

Itulah hakikatnya. Tidak semua Melayu itu Islam.

Mengapa? Sebab tidak semua mereka memahami sebenarnya tuntutan syahadah untuk menyampaikan Islam. Seorang Muslim akan mengambil peluang untuk melakukan dakwah kepada orang Hindu yang datang ke kawasan itu.

Tapi indahnya ilusi dari realiti, tidak semua orang Islam memahami akan keadaan ini.

Pernakah mereka ini yang beraksi seperti jaguhan 'Melayu sejati' memikirkan, apa perasaan mereka, jika sekumpulan orang bukan Islam membawa kepala Babi sepertimana yang mereka telah buat?

Antara kepala Babi dan Lembu...

Lalakan Selawat di saentero Malaysia

Usai solat Taraweh 2 rakaat, telingaku bingit mendengar jeritan selawat yang menyakitkan telinga. Selawat yang seharusnya dialunkan dengan rasa tenang dan penuh kasih sayang, diteriak jeritkan oleh 'orang kita'.

'Semangat' kata mereka, manusia yang menjadi mangsa keadaan kepada taqlid buta, mengikut adat yang tidak syariat-centric.

Fenomena puasa untuk raya pula semakin menjadi-jadi. Ramai yang sanggup merentas lautan manusia di pasar raya berbanding berdiri bersama dalam saf solat tarawih di sepuluh malam terakhir. Tidak kurang juga mereka yang sibuk menghias rumah, berbanding yang sibuk meng'khatam'kan Al-Qur'an.

Adat 'open house' dan 'angpau raya' pula amat merugikan mereka yang teruja untuk beramal di bulan Syawal. Malangnya, disebabkan terlalu mengikut adat membabi buta, mereka terlupa ganjaran untuk mengadakan 'open house' untuk berbuka dan 'angpau sedekah' di bulan Ramadhan, yang mana pahalanya berlipat kali ganda.

Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi.

Selamat tinggal Ramadhan, bulan yang mulanya muncul putih bersinar, kini kian pudar...

Selamat Tinggal si putih comel...

Thursday, September 3, 2009

Tiada Alasan


Kulit di hujung telapak tangannya sudah tiada, nampak isi kemerahan yang berair, kesan luka selepas terjatuh daripada motosikal di lebuhraya. Rahman membonceng motosikal bersama kawannya, disebabkan kawannya terlepas pandang akan kereta yang menghampiri, motosikal yang mereka tunggang berpusing dan masuk ke 'fast lane', lorong khas untuk kenderaan memecut laju.

"Bila anta eksiden nih?"

"Pagi tadi,kira-kira pukul 11 pagi", jawab Rahman.

"Nasib baik la cedera ringan camni...", kata aku, cuba untuk melahirkan rasa syukur. Bayangkan kalau ada kenderaan lain pula yang melanggar di 'fast lane', tapi takdirNya menentukan yang dia cuma cedera ringan.

"Ada lagi...", sambil menyelak lengan baju kanannya. Terbeliak mataku, nafas ku semput sesaat, rupa-rupanya ada lagi kesan luka yang besar di bahagian lengannya, ditambah lagi dengan kesan luka yang merah berdarah dan berair di sikunya.

"Hebat la anta ni, sekalipun baru lepas eksiden, anta datang jugak ke program!", puji ku.

"asalnya...ingat tak nak datang, tapi bila fikir-fikir balik, takda beza jugak kalau tak pegi"


Mukhayyam Generasiku. Pengembaraan ke Gunung Nuang yang mencabar mental dan fizikal. Seribu satu alasan boleh dicipta untuk tidak meneruskan matlamat perjalanan.

Teringat aku akan cerita Ka'ab bin Malik, simptom malas yang melanda manusia, tidak kenal umur dan masa. Kadang kala kita sebagai manusia terus tenggelam nikmat keduniaan, tidak tahu prioriti dalam kehidupan kita sampaikan mata dikaburi oleh alasan-alasan yang tidak munasabah.

Dalam keadaan petang yang terik, aku, Rahman dan Marwan mengagih poskad Ramadhan. Habis poskad yang kami agihkan, tidak sampai 15 minit. Aku masih kagum dengan semangat Rahman yang baru lepas kemalangan.

Berapa ramai yang sanggup untuk datang ke program, untuk menerima sedikit input dan pada masa yang sama melaksanakan kerja-kerja dakwah dalam keadaan sakit dan baru lepas kemalangan.

Tiada alasan.

Dr. Hafizi, baru sahaja pulih selepas sakit, pada masa yang sama, dan sekarang ini masih menjalani rawatan dialisis. Jantungnya sebelum ini hanya berfungsi 40%, tidak dibenarkan minum air dan sentiasa penat.

Namun letih dan sakitnya itu tidak sedikit mengalih fikirannya terhadap tugasnya sebagai pendidik dan aktivis dakwah, kerja yang ramai orang anggap tidak bermanfaat kerana tidak berbayar walau sesen pun. Beliau bukan sahaja sibuk memberi ucapan tentang Palestin, bahkan juga telah menulis beberapa buah buku.

Dalam keadaan usianya yang senja, tidak menjadi penghalang.

Tiada alasan.

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui

At-Taubah, ayat 41

Moga kita tidak tergolong daripada mereka yang banyak beralasan. Tiada alasan!

Sunday, August 23, 2009

Melangkah Gagah ke Daerah Iman

Azam baru, untuk melangkah daerah iman dengan lebih mudah dan dengan kurangnya godaan. Si setan telah dibelenggu dan tiada alasan untuk kita terus menginjak kaki, melangkah gagah beribadah di bulan ini.

Ingin juga aku mengambil peluang di bulan yang mulia ini, memohon sejuta kemaafan dan terima kasih kepada semua.

Kepada ibu bapaku

Terima kasih kerana telah banyak menolong aku. Tak terkira banyaknya pengorbanan mereka, daripada membantu untuk mengubatkan sakit fizikal mahupun emosi. Alhamdulillah, sekarang saiz tumor sudah mengecil hingga 1/3 saiz asalnya, semua berkat dorongan, semangat dan usaha yang kamu curahkan. Tak terlupa juga terima kasih kepada pak cik, mak cik dan datuk-datuk dan nenek-nenekku dan adik -beradikku yang memberi sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

Ku mohon kemaafan atas segala bentuk bebanan perasaan dan luahan emosi yang tampaknya semakin kompleks dan membingungkan kepala, lebih-lebih lagi sepatutnya terdapat banyak lagi masalah-masalah lain yang harus diselesaikan. Namun naluri aku sebagai pemuda sentiasa bergejolak dengan aneka cabaran yang aku harap ku temui penyelesaiannya dan harapnya kamu terus sabar bersama-samaku untuk menghadapi cabaran dan dilema ini...

Kepada ikhwah dan akhawat rakan seperjuangan

Aku hanyalah secebis debu yang bertebangan, masih baru dalam mengerti jerit perih dunia dakwah dan tarbiah, terima kasih kerana masih sudi menerima aku dan terus menerus membimbing dan membantu diri. Setiap saat, bersama kalian ada nilai tarbiah untuk pedoman, sekalipun hanya melihat kalian duduk berbincang di kafe.

Maaf jikalau ada tersalah kata dalam beramal islami. Menjadi paku karat yang menangguhkan perjalanan kereta dakwah KITA. Terlalu taksub dengan cara tersendiri, membuat terlalu banyak andaian dan sangkaan buruk terhadap yang lain. Hatiku sebagai manusia, tak pernah padam daripada dibutai nafsu dan bisikan setan yang menyelubungi. Ujian atas ukhuwah antara kita akan terus menerus meributi jiwa kita, harapnya iman kita sentiasa mengatasi segalanya dalam merealisasikan matlamat mardhatillah.

dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Mahaperkasa, Mahabijakasana. al-Anfaal,ayat 63

Kepada kawan-kawan

Maaf atas segala salah silap, lawak jenaka dan tutur bicara. Kurangnya ajarnya kelakuan aku lahir daripada kurangnya iman dalam diri, tidak dipagari rapi dengan taqwa dalam diri. Moga kalian sudi untuk memaafkan aku, andai ada janji yang ditepati, rasa teraniaya diri, disebabkan oleh terlalu bising menyanyi atau membuka sub woofer (kepada roomate dan jiran-jiran di mahallhah) dan pelbagai lagi kesilapan terhadap tak mampu aku taip di sini.

Akhir sekali kepada semua yang mengenali sama ada directly or indirectly, yang kenal-kenal muka jer masa kelas tap tak tegur, yang kenal nama tapi tak kenal muka, yang kenal melalui alam maya dan tak terlupa kepada strangers yang aku aku pernah terserempak, maaf atas semua salah silap yang terbuat kat korang semua.

JOM! Sama-sama kita menginjak ke bulan mulia ini dengan hati yang jernih untuk membaiki amal diri.

Sunday, August 16, 2009

"Kau tak rase duit lagi..."



"Ini kejayaan..." kata 'dia' sambil menunjukkan jari tengahnya padaku. Masih segar dalam ingatan aku kata-kata Bro. Khairulanuar dalam lecture dia, manusia hidup dengan simbol, setiap simbol itu mempunyai makna tertentu. Sudah pasti sesiapa sahaja dalam masyarakat kita dengan mudah akan tahu apa maksudnya jika orang 'memberi' jari tengahnya pada kita. Namun aku terus sabar...

"yang ini kesedihan dan kegagalan..." sambil menunjukkan dua jari di tepi jari hantu.

Ini kali pertama aku mendengar analogi sedemikian. Aku akui aku terkejut dan rasa kurang selesa apabila diberi jari tengah... Mungkin pada sesetengah orang dalam lingkungan sosialnya akan menafsirkan yang jari tengah itu kejayaan... (wallahualam) Manusia sangat mudah terpengaruh dengan idea-idea yang aku kira luar biasa. Tetapi untuk menghadiri majlis ilmu yang bermanfaat untuk pengisian hati dan iman sangat susah sakali, apatah lagi hendak beramal dengan ilmu yang sedia ada.

Itulah 'closing' yang aku terima. 'Closing' adalah kata-kata terakhir yang penting bagi seorang pengedar MLM. Tersalah kata dan bicara, maka si pengedar MLM akan dengan mudahnya kehilangan pelanggannya yang merupakan sumber utama duit untuk bulanan dia.

"Kau tak rasa duit lagi..." kata 'dia'. Entah mengapa lafaz ini aku telan bulat-bulat, tanpa berfikir dan memahami das-das tembakan serangan pemikiran yang bertalu-talu menyerang iman aku yang lemah ketika itu.

MLM

Dalam dunia MLM, tidak mungkin seseorang itu akan menyertai dua syarikat dalam masa yang sama.

Itulah yang berlaku pada aku. Disaji dengan dua tawaran, aku tidak bisa fokus. Hatiku meronta, antara mengejar cita-cita dunia ataupun matlamat sebenar sebagai manusia. Setiap kali berhadapan dengan manusia, aku bingung memikirkan, hendak diajak kepada MLM atau hendak diajak kepada ISLAM?

Aku kena buat pilihan.

"Apa la ko ni...sebab ni ko nak berhenti?" soal 'dia', memperlekehkan keputusan yang aku buat. Aku tidak hairan akan reaksi 'dia'. Adalah sukar untuk berbicara atau berunding dengan seseorang yang tidak memahami akan tanggungjawab Syahadatul Haq.

"Ya!" dengan rasa bangganya ku jawab. Tekad.

Pahala Abu Bakar as-Siddiq menyamai daripada seluruh penduduk Madinah? Ini disebabkan dia merupakan 'upline' untuk muslimin pada ketika itu. Banyaknya ilmu yang disampaikan kepada msulimin, melipatgandakan lagi 'poin-poin' pahala Abu Bakar as-Siddiq. Keuntungan berlipat kali ganda itu tidak akan kita dapat daripada syarikat MLM lain melainkan ISLAM. Inilah jual beli yang Abu Bakar materai dengan Allah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." 9:111

Dalam syarikat MLM Islam, kita akan mendapat pahala berlipat kali ganda dengan menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan Islam pada kawan-kawan yang lain. Pahala kita akan meningkat berlipat kali ganda lagi jika kawan-kawan kita menyampaikan lagi kepada kawan-kawan mereka yang lain.


Kalau dalam syarikat MLM, kita wajib membayar bulanan untuk memastikan poin-poin kita tidak hilang. Lain pula dalam syarikat MLM yang dianggotai Abu Bakar as-Siddiq ini, kita tidak perlu risau untuk membuat bayaran bulanan untuk memastikan poin-poin kita hilang.

Dalam keadaan umat Islam yang genting ini, aku rasa bersalah tidak mengajak mereka bersama merasai nikmatnya Iman dan Islam, merasai manisnya dunia halaqah, dakwah dan tarbiah, mengajak manusia mengenal Syahadatul Haq. Tanggungjawab yang patut dipikul oleh semua umat Islam ini, yang hanya difahami oleh sekelompok manusia ASING yang dan 'pelik' seperti aku.

"Islam itu bermula ASING dan ia akan kembali ASING, maka berbahagialah ghuraba(ASING)" Sahabat bertanya kepada baginda,"Siapakah golongan yang ASING ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Mereka adalah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan manusia".


Kalau 'pelik' itu adalah mengajak manusia kepada Islam, maka aku berbahagia dan berbangga dengan ke'pelik'kan aku.

"...Padahal kebanggaan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang beriman, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui." 63:8

Tuesday, August 11, 2009

Merubah dengan Wisdom!

"Astaghfirullah... Kamu berdua buat apa kat sini?" bentak Pak Guard terhadap pasangan lelaki dan perempuan yang berdua-duaan di suatu kawasan hutan yang tertutup di UIAM.

Pasangan lelaki dan perempuan yang khayal dalam dunia cinta mereka itu terkejut akan sergahan dan serbuan Pak Guard yang menganggu romantika dua jiwa yang saling ingin berkongsi rasa cinta dan kasih mesra.

Dengan gagah beraninya si lelaki menyoal kembali, "Apa salah kami? Kami sudah kahwin!"

"Oo yeke? Mana marriage certificate?" soal Pak Guard acuh tak acuh. Pak Guard biasa akan situasi begini, ini bukanlah pertama kali dia berhadapan dengan situasi sebegini.

"Tak perlu pun marriage certificate, seorang pensyarah bernama Dr. Israr kata boleh menikah dengan bertukar akad antara laki dan perempuan" jawab si Romeo dengan yakinnya mempertahankan perlakuan sumbangnya dengan 'isterinya' dibumbungi langit dan bintang berkedipan.

Dua orang pelajar UIA itu pun dibawa kepada Deputy Rector, yang pada ketika itu adalah Dr. Sidik Baba. Ramai yang menyangka, mereka mesti dibuang daripada universiti, tetapi itu tidak berlaku.

Dr. Sidik Baba mengambil pendekatan yang sangat berhikmah dengan mengajak kedua-dua ibu bapa di UIA dan terus mengikat ikatan pernikahan di UIA, ditambah juga dengan amaran dan teguran yang bermanfaat. Pasangan pengantin baru itu meneruskan pengajian mereka di UIA dengan mawaddah dan rahmah.

Ibu bapaku. Aku kagum dengan tindakan mereka untuk menikah awal.
Aku tidak hairan ibadah dan sesuatu perkara yang halal dipandang pelik dan susah.
Aku tidak hairan 'coupling' yang merupakan maksiat dipandang sebagai langkah yang wajib dilalui.
Dunia akhir zaman...

Marriage

"Rather than expelling students who does these things, why not we promote early marriage?" bicaraku dihadapan pensyarah dan para pimpinan pelajar yang datang dari pelbagai kelab dan pertubuhan dalam UIA.

"I went to UKM before this. My mother told me,"this is the kolej for married couple"" sambil itu beraksi menunjuk satu arah.

"I was shocked! UKM compare to UIA...UIA should be having these kind of facilities!" tegasku ketika membentangkan hasil perbincangan kumpulan kami dalam Workshop on Action Plans for Implementation of Code of Ethics.

Berhikmah

Hukuman biasanya akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan. Tetapi dalam menyelesaikan sesuatu masalah, kita haruslah 'think out of the box', bukannya hanya rigid kepada satu idea untuk menyelesaikan masalah.

Kalau Deputy Rector tak mengambil tindakan tadi, bayangkan mudarat yang akan terjadi. Pasangan itu akan tidak dapat melanjutkan pelajaran, bahkan mereka juga kemungkinan besar mengambil inisiatif untuk melakukan perbuatan terkutuk itu di luar UIA.


Keratan akhbar daripada Metro. Berita begini gampang saja didapati dalam surat khabar setiap hari. Sampaikan kita sudah lali dengan berita-berita sebegini.

Rasulullah dalam menyampaikan dakwahnya kepada masyarakat saentero dunia pun mengambil pendekatan sebegini. Sekalipun dikotori oleh wanita Yahudi, Rasulullah menziarahi beliau ketika dia sakit. Sekalipun dicaci oleh si buta, dia terus menyuapnya dengan makanan.

Padahal boleh sahaja Rasulullah saman mereka! Memandangkan dia merupakan pemimpin tertinggi pada ketika itu.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"
An-Nahl: 125

Wednesday, August 5, 2009

Ada apa dengan Perempuan Berkalung Sorban?



Ada apa tentang Perempuan Berkalung Sorban? Artikel ini adalah cubaan untuk merungkai salah faham terhadap Islam yang banyak dilakonkan dalam filem tersebut. Ramai yang mengatakan novelnya bagus, jalan cerita filemnya menarik, namun harus diteliti apakah ideologi dan pemikiran apa yang hendak dibawa dan diterapkan dalam filem tersebut.

Terutama sekali harus diteliti filem itu daripada kaca mata seorang muslim yang faham akan apakah itu Islam? Apakah betul Islam yang dipaparkan dalam filem itu? Jika kita lihat, banyak bentuk pemikiran sekular telah terbentuk dalam pesanteran itu sehingga nampak perempuan itu ditindas dan tak diadili dengan baik, sepertimana Islam yang telah diamalkan oleh Rasulullah dan generasi sahabat.



Lihat sahaja keterbukaan Umar al-Khattab dalam menarik balik undang-undang berkenaan dengan mahar yang hendak dilaksanakan untuk Kerajaan Islam yang pada ketika itu melangkau sempadan tanah arab. Undang-undang itu baru sahaja diumumkan, tetapi disebabkan kerana teguran seorang wanita, maka ditarik balik undang-undang tersebut. Bukan itu sahaja, malah perempuan itu pun dipuji oleh Umar, "sesungguhnya wanita ini lebih memahami ayat al-Qur'an itu daripada aku...".

Ini merupakan salah satu contoh keterbukaan masyarakat Islam untuk menerima pendapat wanita. Perkara ini tidak digambarkan dalam pesanteran, Islam dinampakkan seolah-olah agama yang jumud dan gender bias.

"Wanita akan masuk neraka jika minta cerai dengan suami!"

"Kamu itu perempuan. Tidak pantas buat kamu menunggang kuda"



Orang yang tahu akan sejarah umat Islam dan faham akan Islam, akan tahu yang kata-kata seperti itu tidak Islamik.

Malang sekali, tiada usaha untuk membersihkan imej Islam yang tercemar di pesanteran Islam itu. Disebabkan penganutnya yang salah, maka Islam itu dilabel salah. Apa yang diperjuangkan adalah atas dasar feminisme semata-mata, bukan mengambil hakikat Islam yang sebenar dalam pesanteran tersebut.

Seorang penjual BMW tidak bijak membuat promosi dan tidak tahu kaedah berkesan untuk menjual kereta BMW. Adakah kita hendak salahkan kereta BMW itu atau penjualnya?

Begitu juga Islam. Islam adalah satu produk jualan yang baik, tetapi para penj+ual (umat Islam) mempamerkan Islam itu sebagai buruk, ini menyebabkan ramai yang tidak suka akan Islam dan melihat Islam daripada perspektif yang jumud.

Kelakar

Terdapat juga adegan yang 'kelakar' dalam filem itu. Adegannya adalah ketika pelakon utama mula direjam mereka yang ditangkap 'khalwat'. Hendaklah dibezakan antara 'khalwat' dan 'zina'. Ditangkap khalwat tidak menyebabkan pesalah direjam. Bahkan kain tudung yang dibuka tidak cukup untuk menjadi bukti untuk pesalah khalwat direjam. Wajib ada 4 saksi yang melihat zina itu berlaku sepertimana masuknya pen ke dalam tudung pen. Bahkan jika dilihat dari satu segi, pihak pesanteran tiada hak langsung untuk menjalankan hukuman itu kerana mereka bukannya orang yang diberi mandat untuk memerintah.



Ini menunjukkan penulis buku ini tidak faham akan Islam kerana mempamerkan Islam dalam keadaan yang sangat jumud dan penuh dengan carca merba.

Kenapa dalam mempertahankan yang batil, penulis boleh menggunakan dalil-dalil hadith, tetapi tidak menggunakan dalil-dalil hadith untuk mempertahankan Islam?

Sebagai Muslim,kita harus teliti balik Islam KITA. Islam yang difahami sepertimana di bawa oleh Rasul KITA. Bukan seperti yang digambarkan filem PBS yang nampak seperti ada agenda tersembunyi yang hendak menampakkan yang Islam itu anti-wanita, padahal Islam itu tidak sebegitu.

Lainlah jika feminisme itu diperjuangkan dengan memberikan kefahaman yang sepatutnya tentang Islam,tetapi itu tidak berlaku. Feminisme yang diperjuangkan itu hanyalah feminisme yang didasari atas fikiran dan nafsu manusia semata-mata.

Idea yang ditampilkan dalam filem PBS itu adalah Islam itu salah, padahal yang salahnya adalah mereka yang membawanya. Kita sebagai umat Islam harus berhati-hati dengan perkara sebegini, jika tersilap tafsir dan faham sesebuah cerita, boleh menjurus kepada rosak akidah.

Mungkin sudah masanya untuk kita berpaling kepada Qur'an, bukannya melihat novel-novel mahupun tulisan yang berbaur sekular sebagai rujukan.

Tanya diri kita balik, berapa muka surat Qur'an yang kita baca dalam sehari, jika hendak dibandingkan dengan novel-novel? Berapa banyak masa pula yang kita peruntukkan untuk tadabur ayat dan membaca tafsirnya, jika hendak dibandingkan membaca surat khabar, artikel dan majalah yang entah apa-apa entah?

Saturday, August 1, 2009

Gomenasai!!

Pada minggu lepas, aku cuba untuk menukar layout blog. Mungkin dengan adanya layout yang lebih sedap mata memandang, maka lebih senang dan mudah dibaca oleh semua.

Arakian, maka perkara yang di luar jangkaan terjadi. Sekalipun mendapat layout yang lawa, tapi semua senarai rakan-rakan bloggers telah hilang!!

Justeru sekarang sedang dalam usaha untuk mengumpul kembali address kawan-kawan bloggers saentero dunia maya ini.

Akhir sekali, maaf akan kesilapan diri ini, huhu...

Tuesday, July 28, 2009

Hadiah Terindah

Kadangkala Allah hilangkan matahari

kemudian Dia datangkan pula guruh dan kilat...

Puas kita menangis dimana matahari

rupa-rupanya Dia hadiahkan pelangi...


Kini aku sudah kembali ke UIAM. Pelbagai reaksi manusia yang aku jumpa. Ada yang terkejut akan kehadiran aku, ada yang hairan aku lama menghilang dan ada yang gembira akan keadaan aku sekarang ini.

Tumor bukanlah satu penyakit yang biasa, apatah lagi tumor ini terletak dalam otak. Namun agak luar biasa untuk penyakit aku ini boleh sembuh dengan makan pil yang lebih kecil 5 kali lebih kecil daripada panadol, untuk 2 kali seminggu. Pada aku, ujian yang aku terima ini cuma sedikit. Kalau hendak dibandingkan dengan Rasulullah yang telah dicerca, dimaki hamun dan dilontar dengan batu di Taif, sehingga darahnya menetes ke kaki.

Namun pada aku, tempoh tiga minggu ini banyak memberi pengajaran dan penginsafan pada diri aku. Dugaan ini pada awalnya mungkin nampak seakan-akan sangat tragedis disebabkan tumor yang ada dalam kepalaku, namun Allah menghendaki sebaliknya.

Antaranya adalah untuk mengingatkan aku kembali siapa aku, apa yang aku telah buat dan apakah prioriti aku dalam hidup ini. Bila mendapat tahu akan sakit ini, aku mula berfikir akan nikmatNya.

Seolah-olah menerima hidayah buat kali kedua, syahadatul haq aku telah aku perbaharui, dengan maksud dan erti kata yang sebenar.

Ujian yang kita lalui dalam kehidupan bukanlah untuk keluhan, bahkan satu cara untuk Dia mengingatkan kita kepadaNya, apakah silap salah dan kurangnya amal kita padaNya.

Sepertimana kata-kata seorang ustaz yang menasihati aku, ujian itu akan meningkatkan prestasi kita, dari situ prestasi kita akan meningkat, seiring dengan amal kita. Moga hari-hari yang aku lalui selepas ini, ditemph dengan hati yang lebih cekal, tabah dan terus istiqomah untuk berjuang di jalanNya.

Wednesday, July 22, 2009

Bagai Helang

Sudah lama bercuti ini, aku harap aku boleh cergas bergiat dalam memenuhi tuntunan kehidupan sebenar.

Malah aku kena ulangkaji balik kelas-kelas yang aku telah tinggalkan...entah berapa banyak subjek yang telah dicover...huhu... Biasanya selepas cuti yang lama, agak susah untuk menghidupkan 'enjin' (otak & badan) supaya 'panas' (bersedia & ligat untuk berfungsi).

Yang lebih merisaukan, rasa futur pula menerpa memakan jiwa.

Datangnya sekelip mata. Mungkin dalam satu saat, satu minit, satu atau dua jam, mungkin berhari-hari lamanya, atau mungkin berbulan atau bertahun-tahun lamanya.

Memaksimakan masa. Anwar Azzam sempat membuat kerja rumahnya sementara menunggu giliran untuk aku masuk berjumpa Dr. Albert Wong, pakar bedah otak.

Bagi seorang pelajar, maka akan terasa malas untuk belajar.

Bagi seorang anak, maka akan keberatan untuk menunaikan tanggungjawab terhadap mak ayah.

Untuk seorang pendakwah, akan terasa malas untuk hadir usrah, ceramah dan berdakwah.

Untuk seorang rockers pula...akan terasa malas untuk pergi 'gig' dan jamming...(erk,betul ke aplikasi ini? rasanya ini dikategorikan futur yang bagus :D haha...)

Teringat akan lagu daripada kumpulan Fatih:

Kadangku merasa bimbang
Berada didunia yang lapang ini
Sampai kapan aku berjuang
Dijalan dakwah panjang

Takutku akan semua
Semua yang takkan berlanjut lagi
Hanya karna memikirkan
Nafsu dunia yang fana

Rasa futurku menghalangiku
Menempuh semua perjalanan imanku
Akupun ingat semua teman-temanku
Yang masih coba membimbingku

Sepertimana yang para doktor selalu menasihatkan kita:

"Prevention is better than curing" (betul ke? macam salah jer :p )

How to prevent? Aku pun tertanya-tanya...

Ada masanya, kuat mana pun ibadah, timbul juga perasaan ini...

Ada kalanya perasaan ini datang dengan kekecewaan dan ada masanya kegembiraan...

Sekalipun ada kawan yang bersama menasihat kita, tetap juga kecundang dengan dugaan ini...

Atau cukupkah untuk kita berserah pada DIA mengurniakan hidayah pada kita?


Prof Dr Mohamad Hatta Shaharom, seorang ahli akademik, pendidik, pendakwah, ayah dan juga datuk. Namun kudratnya yang tua itu tidak sekali-kali menjadi alasan untuk berehat, bahkan dia terus bergerak dan aktif.
Beliau juga sekarang ini memegang jawatan tinggi dalam CUCMS (Cyber Jaya University of Medical Sciences) dan awal tahun ini, beliau menjelajah ke Palestin untuk membantu mereka yang telah diserang Zionist laknat di sana.


Dalam kondisi ini aku hanya mampu berdoa...

Moga diriku, imanku dan amalku, bagaikan helang yang cergas meliar mencari mangsanya... Amin...

Sunday, July 19, 2009

Serikin

Apa itu Serikin? Makanan? Minuman eksotik daripada Sarawak?

Semuanya bukan...Serikin merupakan tempat yang setanding dengan Downtown, Petaling Street dan macam-macam lagi pasar di kawasan Kuala Lumpur. Kalau kat Sarawak,inilah tempat membeli belah yang terkenal, letaknya dekat dengan sempadan Indonesia dan mengambil masa 1 jam 30 minit ke sana.

Untuk pertama kalinya, aku pergi ke Serikin pada cuti nih. Entah mengapa, sebelum ini aku kurang berminat untuk pergi ke tempat ini.



Azzam bingung memilih jam tangan...

Kasut, kain tirai untuk tudung penjan (tingkap dalam BM Sarawak :D), baju-T, baju untuk perempuan dan pelbagai jenis seluar jeans boleh kita pilih, kot, kain selendang, tikar dan pelbagai macam barang ada dan semuanya murah.

-REMINDER- tiada ikan terubok disini! Ikan terubok ada di pasar Satok, ready available, everyday (kot) waktu siang.

Kali terakhir pergi ke sana, aku beli minyak wangi - RM11 jer! Hugo, tapi most probably tak original, but who cares, yang penting ada bau wangi, betul tak? ;)

Selain itu, ada juga baju koko atau baju muslim yang hampir serupa dengan baju Melayu, cuma terdapat sulaman khas dan design corak yang lawa. Kalau nak tengok, ada jual kat gerai-gerai tepi Bank Muamalat UIAM, Gombak.



Rabun mata nak pilih jam mana satu yang best...

Beberapa
tips untuk sesiapa yang ingin hendak ke sana:

1. Pastikan datang sama ada awal pagi ataupun tengah hari untuk mengelakkan traffic jam.

2. Bawa payung siap-siap, takut hujan ke...panas sangat ker...maklumla Malaysia kan beriklim khatulistiwa :p

3. Kalau malas nak berjalan, redah jer bawa kenderaan lalu kat kawasan gerai-gerai (gerai-gerai tu banyak kot...)

4. berhati-hati dengan kualiti peralatan memasak daripada Indonesia.

4. Bawa duit yang banyak :D haha...

5. Lastly, jangan pergi waktu malam! Sebab...ada hantu...
hehehe...takdelaa... Sebab pasar ni buka siang hari jer, malam tak buka daa...

Thursday, July 16, 2009

CT Scan

Isnin 6 Julai 2009

Aku pergi buat CT Scan di KPJ, sebuah hospital swasta daripada Johor yang punya cawangan di Sarawak. Letaknya tak jauh daripada pejabat mak aku. Selalunya ibuku yang menemani, tetapi kali ini ayahku menemani kerana mak pergi ke Miri atas urusan kerja.

Pertama kali aku masuk ke dalam mesin tu, rasa macam dalam cerita Stargate pulak ( kalau sesaper yang layan cerita karut pasal alien akan tahu cerita nih :p ). Seakan-akan merasa diri ini akan di’transport’ ke alam lain, untuk menjelelajah planet..kemudian muncul satu lembaga... (dah mula merepak....)

Aku membaringkan diri, membetulkan kepalaku atas alas kepala yang keras. Agak lama aku menunggu, akhirnya mesin itu mula bergerak-gerak, ‘scanning’ pun berjalan... Keputusannya...

Esok hari...

Selasa 7 Julai 2009

Aku dan ayahku bertolak awal ke KPJ. Selesai menghantar adik-adikku ke sekolah, kami sarapan mi goreng dibeli di Jalan Muda Hashim, tempat yang ‘famous’ dengan pelbagai kuih-muih & sarapan yang best.

Kenyang selepas sarapan, kami bertolak ke KPJ. Doktor Mahadzir, pakar mata yang memeriksa mataku sebelum ini tiba lewat sedikit daripada temu janji.

“As we expected, from the result of th CT scan, is shows that theres a tumor in your head”

Terkesima... Terkejut... Menangis...merasakan yang hidup ini sudah sampai ke penghujungnya... Selepas mendapat berita ini mungkin akan ke surau dengan lebih kerap, membaca Qur’an dengan lebih kerap dan banyakkan berzikir, memandangkan adanya ketumbuhan sepanjang 4cm (agak besar jugaklaa...) dalam kepala...

Yang kaler putih macam telinga mickey mouse dalam bulatan merah itula tumor. Yang ada cam line hitam tu urat penting,kalo salah potong boleh strok.

Tetapi aku tidak begitu, terkejutnya aku dengan ketumbuhan di dalam kepala aku tidak seperti berdebar-debarnya perasaan ketika menerima keputusan peperiksaan. Entah mengapa, ketenangan dan ketenteraman hati itu dihadirkan dalam hati dan menyelubungi diri.

Aku sendiri tidak pasti akan jawapannya... Kenapa dan bagaimana aku boleh bereaksi dengan selambanya. Kekecewaan yang aku alami adalah ibarat kecewanya seseorang yang tidak dapat makan nasi goreng paprik kegemarannya (mungkin kurang lagi kot :p).

Mungkin DIA sedang berbicara dengan aku, tersirat seribu satu pesanan bak SMS yang bertubi-tubi datang memenuhi inbox hp ku yang kerdil....