TOKK!! TOKK!!
Kedengaran bunyi ketukan di pintu.
Aku menunggu rakan ku yang lain membuka pintu, semuanya malas, sibuk dengan urusan masing-masing, termasuk aku.
TOKK!! TOKK!! TOKK!! TOKK!!
Bertalu-talu bunyi ketukan pintu. Pada sangkaanku, orang ini mesti orang yang menjaga adab, tidak mahu membuka pintu dan masuk ke bilik orang sembarangan. Aku pun terus bergegas membuka pintu.
Berdiri di hadapan aku, dua kanak-kanak berumur kira-kira 10-11 tahun, berseluar hitam, berbaju putih dan bertopi hitam ala Michael Jackson.
Aku kaget, tergamam seketika.
Tidak lama selepas itu mereka menjauhkan diri dari pintu.
Aku semakin pelik, dah mengetuk pintu, selepas itu tak masuk dan yang lagi pelik mereka diam seribu bahasa.
Tiba-tiba, mereka berjalan ke hadapan dengan gaya yang sungguh aneh sekali, tetapi yang peliknya semakin mereka mengorak langkah ke hadapan, semakin ke belakang mereka. Dilihat rupa paras fizikal mereka, normal, tiada tanda cacat pada anggota fizikal mereka. Aku terus terpinga-pinga dengan kanak-kanak riang ini.
Baru aku teringat, inilah gaya tarian MJ, Moon Walk! Gaya tarian yang menjadi trademark MJ!
Perasaan aku bercampur baur, terkejut pun ada, hendak tergelak pun ada, macam-macam ada!
Tak kenal, tapi cinta?
Seperti yang aku beritahu sebentar tadi, mereka tak pernah berjumpa atau sekurang-kurangnya tahu akan Michael Jackson ketika MJ masih hidup lagi. Bahkan ramai lagi orang yang tidak kisah pun akan MJ ketika hidupnya, yang mereka ingat adalah peristiwa dia mengendong anaknya secara bahaya di koridor dan skandal kanak-kanak yang tidak berkesudahan.
Tapi selepas kematiannya, ramai yang mula kenal dengan MJ. Generasi muda-mudi, budak-budak sekolah rendah pun terpengaruh dengan 'aura' MJ, jatuh cinta dengan tarian dan lagu-lagu nyanyiannya.
"Beeeeat IT!!! Beeeat IITTT!!" nyanyi adikku yang berumur 11 tahun. Antara lagu nyanyian MJ yang famous. Terpangaruh dengan kawan-kawannya yang menjadi Kipas Susah Mati (Die-Hard-Fan) MJ!
(Video lagu "Beat It")
Bersaksi
Manusia cenderung untuk mengikut. Mereka memerhati dan melihat gelagat seseorang, dan jika tertarik, akan mengikutinya. Dalam istilah psikologi, kaedah pembelajaran ini dinamakan Observational Learning.
Cepat terpengaruh dengan figure-figure dan environment sekeliling yang penuh dengan warna-warni, campuran baik dan buruk.
Rasulullah pun dah wafat, tapi tak terjumpa pulak Kipas-Susah-Mati seperti yang MJ ada. Dalam umur yang muda, mereka sanggup datang ke bilik yang mereka tidak kenal, mengetuk pintu tanpa rasa malu, semata-mata untuk menari tarian MJ!
Celupan
Justeru, kalau betul secara naturalnya manusia itu sukakan kebaikan, mengapa banyak adunan warna-warni anasir buruk yang mudah diambil, sehinggakan kanak-kanak semuda mereka itu mudah terpengaruh dengan MJ?
Bukankah celupan (sibgah) Allah itu yang lebih baik?
Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. (Qur'an 2:138)
Tipukah sang penguasa alam sehinggakan makhluknya sendiri tidak tercalit dengan celupanNya?
Tipukah ar-Rahman, bahawa sibghah Dia yang terbaik?
Semuanya salah KITA
Kenapa salah kita?
Sebab kita tidak menjadi terkenal seperti MJ, sehinggakan tidak dapat menarik orang ramai untuk menerima celupan Allah, yang jauh lebih baik daripada tarian dan nyanyian MJ. Alunan merdu surat cinta dari Allah jauh lebih sedap daripada teriakan "BEEeeat ITTT!!!".
Tetapi disebabkan kita tidak menjadi contoh seperti MJ, maka semuanya punah...Tercalit warna-warna suram dan titik kotor pada orang-orang di sekeliling kita, baik adik-beradik, mak ayah, kawan-kawan dan orang-orang Cina dan India yang berdekad lamanya duduk di bersama kita.
Lonjakan bilangan mereka yang kembali kepada celupanNya di Malaysia tidak seperti di UK dan US, padahal lebih ramai dan lebih lama Islam bertapak di bumi Malaysia ini. Sikap jual-ikan (selfish) berakar di hati 'umat Islam', terus sibuk dengan hal masing-masing, terlalu sibuk dengan masalah sendiri.
Masalah mencari duit yang tidak berkesudahan, masalah cinta monyet yang berlarutan.
Tidak lupa yang sibuk dan alpa dengan permainan, komputer dan sukan.
Berjalan-jalan ke sana sini mencari ketenangan, tak lupa juga yang suka bershopping sakan.
SELFISH!
Jual-ikan!
Ketika ditanya kepada pengikut-pengikut yang setia Rasulullah, golongon hawariyun dan para sahabat, dan pejuang Islam dahulu...
"Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong (untuk menegakkan agama) Allah?" (Qur'an 61:14)
Mereka terus berkorban dan bersemangat menggalas amanah ini. Keikhlasan mereka mencari redha Allah mengatasi segalanya dan mereka bersungguh mengejar janji Allah dan terus lupa dengan pelbagai masalah-masalah remeh temeh kehidupan yang tak berkesudahan seraya menjawab:
"Kamilah penolong-penolong agama Allah!!" (Qur'an 61:14)
Maka apa pula jawapan kamu?