Tuesday, July 28, 2009

Hadiah Terindah

Kadangkala Allah hilangkan matahari

kemudian Dia datangkan pula guruh dan kilat...

Puas kita menangis dimana matahari

rupa-rupanya Dia hadiahkan pelangi...


Kini aku sudah kembali ke UIAM. Pelbagai reaksi manusia yang aku jumpa. Ada yang terkejut akan kehadiran aku, ada yang hairan aku lama menghilang dan ada yang gembira akan keadaan aku sekarang ini.

Tumor bukanlah satu penyakit yang biasa, apatah lagi tumor ini terletak dalam otak. Namun agak luar biasa untuk penyakit aku ini boleh sembuh dengan makan pil yang lebih kecil 5 kali lebih kecil daripada panadol, untuk 2 kali seminggu. Pada aku, ujian yang aku terima ini cuma sedikit. Kalau hendak dibandingkan dengan Rasulullah yang telah dicerca, dimaki hamun dan dilontar dengan batu di Taif, sehingga darahnya menetes ke kaki.

Namun pada aku, tempoh tiga minggu ini banyak memberi pengajaran dan penginsafan pada diri aku. Dugaan ini pada awalnya mungkin nampak seakan-akan sangat tragedis disebabkan tumor yang ada dalam kepalaku, namun Allah menghendaki sebaliknya.

Antaranya adalah untuk mengingatkan aku kembali siapa aku, apa yang aku telah buat dan apakah prioriti aku dalam hidup ini. Bila mendapat tahu akan sakit ini, aku mula berfikir akan nikmatNya.

Seolah-olah menerima hidayah buat kali kedua, syahadatul haq aku telah aku perbaharui, dengan maksud dan erti kata yang sebenar.

Ujian yang kita lalui dalam kehidupan bukanlah untuk keluhan, bahkan satu cara untuk Dia mengingatkan kita kepadaNya, apakah silap salah dan kurangnya amal kita padaNya.

Sepertimana kata-kata seorang ustaz yang menasihati aku, ujian itu akan meningkatkan prestasi kita, dari situ prestasi kita akan meningkat, seiring dengan amal kita. Moga hari-hari yang aku lalui selepas ini, ditemph dengan hati yang lebih cekal, tabah dan terus istiqomah untuk berjuang di jalanNya.

No comments:

Post a Comment