Sunday, August 23, 2009

Melangkah Gagah ke Daerah Iman

Azam baru, untuk melangkah daerah iman dengan lebih mudah dan dengan kurangnya godaan. Si setan telah dibelenggu dan tiada alasan untuk kita terus menginjak kaki, melangkah gagah beribadah di bulan ini.

Ingin juga aku mengambil peluang di bulan yang mulia ini, memohon sejuta kemaafan dan terima kasih kepada semua.

Kepada ibu bapaku

Terima kasih kerana telah banyak menolong aku. Tak terkira banyaknya pengorbanan mereka, daripada membantu untuk mengubatkan sakit fizikal mahupun emosi. Alhamdulillah, sekarang saiz tumor sudah mengecil hingga 1/3 saiz asalnya, semua berkat dorongan, semangat dan usaha yang kamu curahkan. Tak terlupa juga terima kasih kepada pak cik, mak cik dan datuk-datuk dan nenek-nenekku dan adik -beradikku yang memberi sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

Ku mohon kemaafan atas segala bentuk bebanan perasaan dan luahan emosi yang tampaknya semakin kompleks dan membingungkan kepala, lebih-lebih lagi sepatutnya terdapat banyak lagi masalah-masalah lain yang harus diselesaikan. Namun naluri aku sebagai pemuda sentiasa bergejolak dengan aneka cabaran yang aku harap ku temui penyelesaiannya dan harapnya kamu terus sabar bersama-samaku untuk menghadapi cabaran dan dilema ini...

Kepada ikhwah dan akhawat rakan seperjuangan

Aku hanyalah secebis debu yang bertebangan, masih baru dalam mengerti jerit perih dunia dakwah dan tarbiah, terima kasih kerana masih sudi menerima aku dan terus menerus membimbing dan membantu diri. Setiap saat, bersama kalian ada nilai tarbiah untuk pedoman, sekalipun hanya melihat kalian duduk berbincang di kafe.

Maaf jikalau ada tersalah kata dalam beramal islami. Menjadi paku karat yang menangguhkan perjalanan kereta dakwah KITA. Terlalu taksub dengan cara tersendiri, membuat terlalu banyak andaian dan sangkaan buruk terhadap yang lain. Hatiku sebagai manusia, tak pernah padam daripada dibutai nafsu dan bisikan setan yang menyelubungi. Ujian atas ukhuwah antara kita akan terus menerus meributi jiwa kita, harapnya iman kita sentiasa mengatasi segalanya dalam merealisasikan matlamat mardhatillah.

dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Mahaperkasa, Mahabijakasana. al-Anfaal,ayat 63

Kepada kawan-kawan

Maaf atas segala salah silap, lawak jenaka dan tutur bicara. Kurangnya ajarnya kelakuan aku lahir daripada kurangnya iman dalam diri, tidak dipagari rapi dengan taqwa dalam diri. Moga kalian sudi untuk memaafkan aku, andai ada janji yang ditepati, rasa teraniaya diri, disebabkan oleh terlalu bising menyanyi atau membuka sub woofer (kepada roomate dan jiran-jiran di mahallhah) dan pelbagai lagi kesilapan terhadap tak mampu aku taip di sini.

Akhir sekali kepada semua yang mengenali sama ada directly or indirectly, yang kenal-kenal muka jer masa kelas tap tak tegur, yang kenal nama tapi tak kenal muka, yang kenal melalui alam maya dan tak terlupa kepada strangers yang aku aku pernah terserempak, maaf atas semua salah silap yang terbuat kat korang semua.

JOM! Sama-sama kita menginjak ke bulan mulia ini dengan hati yang jernih untuk membaiki amal diri.

Sunday, August 16, 2009

"Kau tak rase duit lagi..."



"Ini kejayaan..." kata 'dia' sambil menunjukkan jari tengahnya padaku. Masih segar dalam ingatan aku kata-kata Bro. Khairulanuar dalam lecture dia, manusia hidup dengan simbol, setiap simbol itu mempunyai makna tertentu. Sudah pasti sesiapa sahaja dalam masyarakat kita dengan mudah akan tahu apa maksudnya jika orang 'memberi' jari tengahnya pada kita. Namun aku terus sabar...

"yang ini kesedihan dan kegagalan..." sambil menunjukkan dua jari di tepi jari hantu.

Ini kali pertama aku mendengar analogi sedemikian. Aku akui aku terkejut dan rasa kurang selesa apabila diberi jari tengah... Mungkin pada sesetengah orang dalam lingkungan sosialnya akan menafsirkan yang jari tengah itu kejayaan... (wallahualam) Manusia sangat mudah terpengaruh dengan idea-idea yang aku kira luar biasa. Tetapi untuk menghadiri majlis ilmu yang bermanfaat untuk pengisian hati dan iman sangat susah sakali, apatah lagi hendak beramal dengan ilmu yang sedia ada.

Itulah 'closing' yang aku terima. 'Closing' adalah kata-kata terakhir yang penting bagi seorang pengedar MLM. Tersalah kata dan bicara, maka si pengedar MLM akan dengan mudahnya kehilangan pelanggannya yang merupakan sumber utama duit untuk bulanan dia.

"Kau tak rasa duit lagi..." kata 'dia'. Entah mengapa lafaz ini aku telan bulat-bulat, tanpa berfikir dan memahami das-das tembakan serangan pemikiran yang bertalu-talu menyerang iman aku yang lemah ketika itu.

MLM

Dalam dunia MLM, tidak mungkin seseorang itu akan menyertai dua syarikat dalam masa yang sama.

Itulah yang berlaku pada aku. Disaji dengan dua tawaran, aku tidak bisa fokus. Hatiku meronta, antara mengejar cita-cita dunia ataupun matlamat sebenar sebagai manusia. Setiap kali berhadapan dengan manusia, aku bingung memikirkan, hendak diajak kepada MLM atau hendak diajak kepada ISLAM?

Aku kena buat pilihan.

"Apa la ko ni...sebab ni ko nak berhenti?" soal 'dia', memperlekehkan keputusan yang aku buat. Aku tidak hairan akan reaksi 'dia'. Adalah sukar untuk berbicara atau berunding dengan seseorang yang tidak memahami akan tanggungjawab Syahadatul Haq.

"Ya!" dengan rasa bangganya ku jawab. Tekad.

Pahala Abu Bakar as-Siddiq menyamai daripada seluruh penduduk Madinah? Ini disebabkan dia merupakan 'upline' untuk muslimin pada ketika itu. Banyaknya ilmu yang disampaikan kepada msulimin, melipatgandakan lagi 'poin-poin' pahala Abu Bakar as-Siddiq. Keuntungan berlipat kali ganda itu tidak akan kita dapat daripada syarikat MLM lain melainkan ISLAM. Inilah jual beli yang Abu Bakar materai dengan Allah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." 9:111

Dalam syarikat MLM Islam, kita akan mendapat pahala berlipat kali ganda dengan menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan Islam pada kawan-kawan yang lain. Pahala kita akan meningkat berlipat kali ganda lagi jika kawan-kawan kita menyampaikan lagi kepada kawan-kawan mereka yang lain.


Kalau dalam syarikat MLM, kita wajib membayar bulanan untuk memastikan poin-poin kita tidak hilang. Lain pula dalam syarikat MLM yang dianggotai Abu Bakar as-Siddiq ini, kita tidak perlu risau untuk membuat bayaran bulanan untuk memastikan poin-poin kita hilang.

Dalam keadaan umat Islam yang genting ini, aku rasa bersalah tidak mengajak mereka bersama merasai nikmatnya Iman dan Islam, merasai manisnya dunia halaqah, dakwah dan tarbiah, mengajak manusia mengenal Syahadatul Haq. Tanggungjawab yang patut dipikul oleh semua umat Islam ini, yang hanya difahami oleh sekelompok manusia ASING yang dan 'pelik' seperti aku.

"Islam itu bermula ASING dan ia akan kembali ASING, maka berbahagialah ghuraba(ASING)" Sahabat bertanya kepada baginda,"Siapakah golongan yang ASING ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Mereka adalah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan manusia".


Kalau 'pelik' itu adalah mengajak manusia kepada Islam, maka aku berbahagia dan berbangga dengan ke'pelik'kan aku.

"...Padahal kebanggaan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang beriman, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui." 63:8

Tuesday, August 11, 2009

Merubah dengan Wisdom!

"Astaghfirullah... Kamu berdua buat apa kat sini?" bentak Pak Guard terhadap pasangan lelaki dan perempuan yang berdua-duaan di suatu kawasan hutan yang tertutup di UIAM.

Pasangan lelaki dan perempuan yang khayal dalam dunia cinta mereka itu terkejut akan sergahan dan serbuan Pak Guard yang menganggu romantika dua jiwa yang saling ingin berkongsi rasa cinta dan kasih mesra.

Dengan gagah beraninya si lelaki menyoal kembali, "Apa salah kami? Kami sudah kahwin!"

"Oo yeke? Mana marriage certificate?" soal Pak Guard acuh tak acuh. Pak Guard biasa akan situasi begini, ini bukanlah pertama kali dia berhadapan dengan situasi sebegini.

"Tak perlu pun marriage certificate, seorang pensyarah bernama Dr. Israr kata boleh menikah dengan bertukar akad antara laki dan perempuan" jawab si Romeo dengan yakinnya mempertahankan perlakuan sumbangnya dengan 'isterinya' dibumbungi langit dan bintang berkedipan.

Dua orang pelajar UIA itu pun dibawa kepada Deputy Rector, yang pada ketika itu adalah Dr. Sidik Baba. Ramai yang menyangka, mereka mesti dibuang daripada universiti, tetapi itu tidak berlaku.

Dr. Sidik Baba mengambil pendekatan yang sangat berhikmah dengan mengajak kedua-dua ibu bapa di UIA dan terus mengikat ikatan pernikahan di UIA, ditambah juga dengan amaran dan teguran yang bermanfaat. Pasangan pengantin baru itu meneruskan pengajian mereka di UIA dengan mawaddah dan rahmah.

Ibu bapaku. Aku kagum dengan tindakan mereka untuk menikah awal.
Aku tidak hairan ibadah dan sesuatu perkara yang halal dipandang pelik dan susah.
Aku tidak hairan 'coupling' yang merupakan maksiat dipandang sebagai langkah yang wajib dilalui.
Dunia akhir zaman...

Marriage

"Rather than expelling students who does these things, why not we promote early marriage?" bicaraku dihadapan pensyarah dan para pimpinan pelajar yang datang dari pelbagai kelab dan pertubuhan dalam UIA.

"I went to UKM before this. My mother told me,"this is the kolej for married couple"" sambil itu beraksi menunjuk satu arah.

"I was shocked! UKM compare to UIA...UIA should be having these kind of facilities!" tegasku ketika membentangkan hasil perbincangan kumpulan kami dalam Workshop on Action Plans for Implementation of Code of Ethics.

Berhikmah

Hukuman biasanya akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan. Tetapi dalam menyelesaikan sesuatu masalah, kita haruslah 'think out of the box', bukannya hanya rigid kepada satu idea untuk menyelesaikan masalah.

Kalau Deputy Rector tak mengambil tindakan tadi, bayangkan mudarat yang akan terjadi. Pasangan itu akan tidak dapat melanjutkan pelajaran, bahkan mereka juga kemungkinan besar mengambil inisiatif untuk melakukan perbuatan terkutuk itu di luar UIA.


Keratan akhbar daripada Metro. Berita begini gampang saja didapati dalam surat khabar setiap hari. Sampaikan kita sudah lali dengan berita-berita sebegini.

Rasulullah dalam menyampaikan dakwahnya kepada masyarakat saentero dunia pun mengambil pendekatan sebegini. Sekalipun dikotori oleh wanita Yahudi, Rasulullah menziarahi beliau ketika dia sakit. Sekalipun dicaci oleh si buta, dia terus menyuapnya dengan makanan.

Padahal boleh sahaja Rasulullah saman mereka! Memandangkan dia merupakan pemimpin tertinggi pada ketika itu.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"
An-Nahl: 125

Wednesday, August 5, 2009

Ada apa dengan Perempuan Berkalung Sorban?



Ada apa tentang Perempuan Berkalung Sorban? Artikel ini adalah cubaan untuk merungkai salah faham terhadap Islam yang banyak dilakonkan dalam filem tersebut. Ramai yang mengatakan novelnya bagus, jalan cerita filemnya menarik, namun harus diteliti apakah ideologi dan pemikiran apa yang hendak dibawa dan diterapkan dalam filem tersebut.

Terutama sekali harus diteliti filem itu daripada kaca mata seorang muslim yang faham akan apakah itu Islam? Apakah betul Islam yang dipaparkan dalam filem itu? Jika kita lihat, banyak bentuk pemikiran sekular telah terbentuk dalam pesanteran itu sehingga nampak perempuan itu ditindas dan tak diadili dengan baik, sepertimana Islam yang telah diamalkan oleh Rasulullah dan generasi sahabat.



Lihat sahaja keterbukaan Umar al-Khattab dalam menarik balik undang-undang berkenaan dengan mahar yang hendak dilaksanakan untuk Kerajaan Islam yang pada ketika itu melangkau sempadan tanah arab. Undang-undang itu baru sahaja diumumkan, tetapi disebabkan kerana teguran seorang wanita, maka ditarik balik undang-undang tersebut. Bukan itu sahaja, malah perempuan itu pun dipuji oleh Umar, "sesungguhnya wanita ini lebih memahami ayat al-Qur'an itu daripada aku...".

Ini merupakan salah satu contoh keterbukaan masyarakat Islam untuk menerima pendapat wanita. Perkara ini tidak digambarkan dalam pesanteran, Islam dinampakkan seolah-olah agama yang jumud dan gender bias.

"Wanita akan masuk neraka jika minta cerai dengan suami!"

"Kamu itu perempuan. Tidak pantas buat kamu menunggang kuda"



Orang yang tahu akan sejarah umat Islam dan faham akan Islam, akan tahu yang kata-kata seperti itu tidak Islamik.

Malang sekali, tiada usaha untuk membersihkan imej Islam yang tercemar di pesanteran Islam itu. Disebabkan penganutnya yang salah, maka Islam itu dilabel salah. Apa yang diperjuangkan adalah atas dasar feminisme semata-mata, bukan mengambil hakikat Islam yang sebenar dalam pesanteran tersebut.

Seorang penjual BMW tidak bijak membuat promosi dan tidak tahu kaedah berkesan untuk menjual kereta BMW. Adakah kita hendak salahkan kereta BMW itu atau penjualnya?

Begitu juga Islam. Islam adalah satu produk jualan yang baik, tetapi para penj+ual (umat Islam) mempamerkan Islam itu sebagai buruk, ini menyebabkan ramai yang tidak suka akan Islam dan melihat Islam daripada perspektif yang jumud.

Kelakar

Terdapat juga adegan yang 'kelakar' dalam filem itu. Adegannya adalah ketika pelakon utama mula direjam mereka yang ditangkap 'khalwat'. Hendaklah dibezakan antara 'khalwat' dan 'zina'. Ditangkap khalwat tidak menyebabkan pesalah direjam. Bahkan kain tudung yang dibuka tidak cukup untuk menjadi bukti untuk pesalah khalwat direjam. Wajib ada 4 saksi yang melihat zina itu berlaku sepertimana masuknya pen ke dalam tudung pen. Bahkan jika dilihat dari satu segi, pihak pesanteran tiada hak langsung untuk menjalankan hukuman itu kerana mereka bukannya orang yang diberi mandat untuk memerintah.



Ini menunjukkan penulis buku ini tidak faham akan Islam kerana mempamerkan Islam dalam keadaan yang sangat jumud dan penuh dengan carca merba.

Kenapa dalam mempertahankan yang batil, penulis boleh menggunakan dalil-dalil hadith, tetapi tidak menggunakan dalil-dalil hadith untuk mempertahankan Islam?

Sebagai Muslim,kita harus teliti balik Islam KITA. Islam yang difahami sepertimana di bawa oleh Rasul KITA. Bukan seperti yang digambarkan filem PBS yang nampak seperti ada agenda tersembunyi yang hendak menampakkan yang Islam itu anti-wanita, padahal Islam itu tidak sebegitu.

Lainlah jika feminisme itu diperjuangkan dengan memberikan kefahaman yang sepatutnya tentang Islam,tetapi itu tidak berlaku. Feminisme yang diperjuangkan itu hanyalah feminisme yang didasari atas fikiran dan nafsu manusia semata-mata.

Idea yang ditampilkan dalam filem PBS itu adalah Islam itu salah, padahal yang salahnya adalah mereka yang membawanya. Kita sebagai umat Islam harus berhati-hati dengan perkara sebegini, jika tersilap tafsir dan faham sesebuah cerita, boleh menjurus kepada rosak akidah.

Mungkin sudah masanya untuk kita berpaling kepada Qur'an, bukannya melihat novel-novel mahupun tulisan yang berbaur sekular sebagai rujukan.

Tanya diri kita balik, berapa muka surat Qur'an yang kita baca dalam sehari, jika hendak dibandingkan dengan novel-novel? Berapa banyak masa pula yang kita peruntukkan untuk tadabur ayat dan membaca tafsirnya, jika hendak dibandingkan membaca surat khabar, artikel dan majalah yang entah apa-apa entah?

Saturday, August 1, 2009

Gomenasai!!

Pada minggu lepas, aku cuba untuk menukar layout blog. Mungkin dengan adanya layout yang lebih sedap mata memandang, maka lebih senang dan mudah dibaca oleh semua.

Arakian, maka perkara yang di luar jangkaan terjadi. Sekalipun mendapat layout yang lawa, tapi semua senarai rakan-rakan bloggers telah hilang!!

Justeru sekarang sedang dalam usaha untuk mengumpul kembali address kawan-kawan bloggers saentero dunia maya ini.

Akhir sekali, maaf akan kesilapan diri ini, huhu...